Penduduk DUN Kota Damansara mengambil kesempatan membeli barangan keperluan dapur pada Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Budiman, Taman Subang Baru pada 4 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

23 kali anjur jualan murah, DUN Kota Damansara rancang lagi enam lokasi

Oleh Shamz Johan

PETALING JAYA, 4 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara mengadakan 23 program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sejak Januari berikutan permintaan tinggi penduduk.

Wakil rakyatnya berkata pihaknya merancang enam lagi lokasi jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sehingga akhir bulan ini.

“Kebanyakan pengundi di sini terdiri daripada keluarga B40 dan bergaji rendah.

ADN Kota Damansara Shatiri Mansor

“Inisiatif kerajaan negeri ini banyak membantu mereka sejak (JER) dianjurkan,” kata Shatiri Mansor pada JER di Dewan Budiman, Taman Subang Baru di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 300 penduduk beratur sejak jam 7.30 pagi walaupun jualan bermula lewat akibat hujan lebat selain 1,500 ayam habis dijual dalam tempoh satu jam setengah.

Menurut Shatiri, pihaknya akan sentiasa memberi tumpuan kepada program kemasyarakatan dan kebajikan bagi meringankan beban penduduk.

“Kita faham dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup tinggi sekarang, justeru, kita mahu fokus projek atau program sebegini yang mana memberi lebih manfaat buat penduduk khususnya pengundi Kota Damansara.

“Kita juga libatkan pimpinan setempat tanpa mengira fahaman politik,” katanya lagi.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :