Pengundi membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 19 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Seru anak muda keluar mengundi, pilih kerajaan bela rakyat

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pengundi pilihan raya negeri (PRN) Selangor menyeru orang ramai terutama anak muda menunaikan tanggungjawab masing-masing esok dengan memilih kerajaan yang boleh membela kebajikan rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari mengundi enam negeri iaitu Selangor melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).

Berikut temu bual pengundi:

“Saya dan isteri merupakan pengundi di DUN Jeram dan tidak akan melepaskan peluang keluar mengundi kerana ini sahaja peluang memilih kerajaan yang boleh membela nasib rakyat.

“Saya sarankan anak muda jalankan tanggungjawab keluar mengundi demi masa depan lebih baik.”

Mohd Naim Ramli, 35 (DUN Jeram – peniaga)

“Saya sudah bersara, tetapi memilih untuk jadi sukarelawan dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi esok.

“Tanggungjawab mengundi ini perlu diambil berat oleh setiap mereka yang layak kerana ia bukan saja menentukan masa depan negara, tetapi masa depan rakyat itu sendiri.”

Norhashimah Jamaluddin, 62 (DUN Kajang – pesara)

“Saya mengharapkan orang ramai terutama anak muda untuk keluar mengundi dan menjalankan tanggungjawab kita.

“Pilih calon yang boleh menjalankan tanggungjawab demi kesejahteraan penduduk setempat.”

Hazid ilman hamidi, 21 (Mahasiswa)


Pengarang :