Seorang pemandu lori ditahan kerana disyaki menyeleweng diesel di sebuah stesen minyak di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada 6 Januari 2024. Foto Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Selangor
AGENDAJENAYAH

Pemandu lori ditahan disyaki seleweng diesel di stesen minyak

SHAH ALAM, 7 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNS) Selangor menahan seorang lelaki kerana disyaki menyeleweng diesel di stesen minyak di Bandar Puncak Alam, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKS Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata suspek berusia 30-an itu ditahan hasil rondaan Ops Tiris pada 1.40 pagi, selepas dilihat mengisi diesel menggunakan dua nozel serentak.

“Pemeriksaan lanjut menemui enam tong plastik berkapasiti 1,000 liter dalam ruang kargo. Minyak yang diisi melalui tangki asal dipam masuk ke dalam empat unit tangki plastik yang telah diubah suai.

“Pemandu lori juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran urus niaga dan pemilikan barang kawalan berjadual,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata pihaknya menyita lori, tangki plastik, pam bermotor, hos penyambung dan minyak diesel dengan anggaran nilai sitaan sejumlah RM51,150.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) PPKB 1974, Peraturan 9(2) PPKB 1974 dan Peraturan 12A PPKB 1974.

Tong berisi diesel yang ditemui dalam sebuah lori di stesen minyak di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada 6 Januari 2024. Foto Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Selangor

 


Pengarang :