NASIONAL

MB: Derita rakyat kebanggaan pemimpin Umno-BN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, sinis memuat naik laporan dari majalah terkemuka Indonesia, TEMPO, yang memaparkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di muka hadapannya.

Menerusi laman twitternya, Mohamed Azmin mempersoalkan ‘kehilangan’ hartawan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low iaitu individu utama dalam skandal 1MDB.

“Derita rakyat, kebanggaan pemimpin Umno-BN. Rakyat dibebankan dengan hutang, mereka pesta di gunung emas. Di mana Jho Low?,” soalnya.

TEMPO yang diasaskan penulis, Goenawan Mohamad, adalah majalah sosio-politik terkemuka, di Indonesia.

Majalah itu menyoroti usaha menutup skandal 1MDB oleh Kerajaan Malaysia walaupun siasatan dilakukan beberapa negara asing.

Liputan seperti itu sudah tentu tidak dikeluarkan dalam berita arus perdana, di negara ini.

Majalah mingguan itu turut menampilkan beberapa artikel di bahagian dalam majalah itu termasuk bertajuk “Lancar di luar, mandek di dalam”.

Mandek dalam bahasa Indonesia bermaksud ‘tersekat’ atau ‘sangkut’.

Laporan itu memetik Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Loong, yang mengatakan usaha membangkitkan soalan berkaitan 1MDB di Parlimen ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selain itu, ia turut membabitkan pihak berkuasa Malaysia termasuk Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, membersihkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, daripada sebarang salah laku berkaitan skandal terbabit.

Ia menyatakan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lalu tidak mengakibatkan sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang dikaitkan dengan 1MDB.

Skandal 1MDB menjadi berita utama di Indonesia selepas tindakan menyita kapal layar mewah, Equanimity, yang dikaitkan dengan jutawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low, di Benoa, Bali, pada 28 Februari lalu.

Pada November lalu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, sekurang-kurangnya empat pegawai bank didapati bersalah dan dipenjara di Singapura kerana mempunyai kaitan dengan 1MDB manakala sekurang-kurangnya tiga negara lain iaitu Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat sedang meneliti aktiviti yang didakwa membabitkan pengubahan wang haram syarikat berkenaan.

 


Pengarang :