GLOBAL SUKANKINI

Zidane umum tinggalkan Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 1 JUN: Zinedine Zidane, 45, mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai pengurus Real Madrid selepas berkhidmat selama dua tahun lima bulan.

Kredit Foto: Goals.com

Pengumuman mengejutkan itu dibuat lima hari selepas Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kali ke-13 menewaskan Liverpool 3-1 hujung minggu lalu.

Zidane yang memanggil sidang media sambil ditemani Presiden Real Madrid, Florentino Perez, menyifatkan sekarang masa sesuai untuk mengucapkan selamat tinggal selepas mengecapi peringkat tertinggi Eropah.

“Saya sayangkan kelab ini. Saya rasa kelab memerlukan kejayaan berterusan dan perubahan,” katanya.

Zidane mengambilalih tugas mengemudi Real Madrid daripada Rafa Benitez dengan rekod 104 kemenangan daripada 149 perlawanan keseluruhan.

Bagaimanapun, musim ini Real Madrid sekadar menduduki tangga ketiga La-Liga dengan jarak 17 mata di belakang juara, Barcelona.

Sepanjang menemudi Los Blancos, Zidane berjaya menjulang sembilan kejuaraan dengan tiga trofi UCL, dua juara Kelab Dunia FIFA, dua piala Super Eropah, satu kejuaraan La Liga dan Piala Super Sepanyol.

 


Pengarang :