EKONOMI

Ringgit naik 1.4% berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Ringgit menambah nilai sebanyak 1.4 peratus berbanding dolar AS pada suku pertama 2019 (1Q19), didorong terutama oleh kemasukan portfolio bukan pemastautin yang berjumlah RM13.5 bilion, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu bagaimanapun berkata, dari April hingga 15 Mei, ringgit menyusut nilai sebanyak 2.2 peratus berbanding dolar AS sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau.

“Tenakan penyusutan nilai baru-baru ini mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati dalam pasaran kewangan global berikutan prospek pertumbuhan global yang bertambah lemah serta ketidaktentuan mengenai perkembangan geopolitik dan perdagangan global,” kata BNM dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, BNM berkata purata inflasi keseluruhan dijangkakan pada -0.3 peratus pada 1Q19 daripada 0.3 peratus pada 4Q18.

“Inflasi keseluruhan negatif pada Januari dan Februari (masing-masing pada -0.7 peratus dan -0.4 peratus) disebabkan harga bahan api domestik yang rendah, namun kembali positif pada Mac (0.2 peratus) susulan trend harga minyak (mentah) dunia yang meningkat, dan menjurus kepada harga bahan api domestik yang lebih tinggi.

BNM berkata, purata inflasi keseluruhan dijangkakan berada antara 0.7 dan 1.7 peratus tahun ini.

Inflasi teras – tidak termasuk impak perubahan dasar cukai penggunaan – tidak berubah pada 1.6 peratus.

“Inflasi teras dijangkakan stabil, disokong oleh kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :