EXCOSELANGOR

‘AedesTech Mosquito Home System’ basmi denggi Seksyen 20

SHAH ALAM, 18 OGOS: Projek perintis ‘AedesTech Mosquito Home System’ (AMHS) dijalankan dengan 440 unit ditempatkan di Kompleks Perumahan Polis, Seksyen 20 di sini dalam usaha memerangi wabak denggi.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, pelaksanaan projek itu akan dipantau setiap hari selama enam bulan.

Katanya, usaha itu dijalankan ekoran kawasan Seksyen 20 adalah lokasi panas pembiakan nyamuk aedes.

“Dalam tempoh ini, kita akan melihat sama ada ia berjaya atau tidak. Sekiranya berjaya dan efektif, saya akan mengetengahkan projek ini kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“AMHS ini akan diletakkan di dua atau tiga kawasan panas yang lain mengikut laporan dan kategori oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Perangi Denggi di Kompleks Perumahan Polis, Seksyen 20, di sini.

Rodziah berkata, sejumlah 46,011 kes denggi didaftarkan di Selangor dengan 120 kematian direkodkan tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, daerah Petaling Jaya mencatatkan 17,844 kes dengan 15 kematian.

“Kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam merekodkan 118 kes denggi dengan tiga kematian tahun ini.

“Justeru, Dewan Undangan Negeri Batu Tiga dengan kerjasama One Team Network Sdn Bhd memperuntukkan sejumlah RM40,000 untuk program ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap KKM tidak melepaskan nyamuk Wolbachia di kawasan berkenaan bagi memudahkan pemantuan keberkesanan program itu.

“AMHS ini turut menjimatkan daripada program Wolbachia dan lebih menyeluruh,” katanya.


Pengarang :