Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
PBTSELANGOR

MPKj dapat pujian anjur seminar berteras SDGS, NUA

SHAH ALAM, 23 SEPT: Peranan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam melaksanakan seminar berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGS) dan New Urban Agenda (NUA) mendapat pujian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, seminar anjuran MPKj itu bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri dalam melestarikan pertumbuhan Selangor.

Katanya, ia termasuklah dari segi pembangunan bandar seperti diramalkan dalam Rancangan Struktur Selangor 2035 iaitu jumlah penduduk akan meningkat kepada 9 juta pada tahun itu.

“Malah, daripada jumlah itu 80 peratus penduduk dijangka akan mendiami kawasan bandar.

“Justeru, tekanan ke atas alam binaan dan semula jadi ekoran peningkatan penduduk ini perlu diurus secara pintar oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ejen pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Peranan Pihak Berkuasa Tempatan Dalam Pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGS) dan New Urban Agenda (NUA) di Bangi Resort Hotel, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Selangor antara negeri paling maju di Malaysia apabila menyumbang sebanyak 23.7 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

Katanya, kemajuan itu sekali gus menjadikan kadar perbandaran dan migrasi masuk penduduk akan menjadi lebih tinggi.

“Oleh itu, dua dokumen pembangunan mampan dirangka iaitu SDGS dan NUA bagi membantu pentadbir bandar mencorakkan hala tuju pembangunan dan kesejahteraan bandar untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Kerajaan Negeri komited dan percaya agenda dalam SDGS dan NUA boleh dicapai sekiranya kita semua faham dan menggariskan tindakan pelaksanaan dalam pelan strategik jabatan masing-masing.

“Saya merakamkan terima kasih kepada MPKj kerana sedar dan prihatin terhadap isu perbandaran serta penempatan masa depan dengan mengadakan seminar hari ini bagi pemahaman dan memperkasa pengetahuan kita semua,” katanya.

Berdasarkan rekod, SDGS diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 dengan menetapkan 17 matlamat dan 169 target perlu dicapai menjelang 2030.

Manakala, NUA dilancarkan semasa persidangan UN Habitat pada 2016 iaitu dokumen pelengkap kepada matlamat SDGS dalam mengatasi masalah perbandaran dan urbanisasi.


Pengarang :