Selangorkini
Sebuah poster memaparkan panduan untuk melindungi dari daripada wabak koronavirus yang diletakkan di pintu masuk kompleks kediaman di Beijing pada 6 Februari 2020. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kesan negatif ekonomi China terhad – ahli ekonomi

CHICAGO, 14 FEB: Ahli ekonomi berpendapat kesan negatif dicetuskan wabak koronavirus 2019 (Covid-19) ke atas ekonomi China adalah terhad, lapor agensi berita Xinhua.

Profesor ekonomi di Institut Teknologi Illinois, Chicago Khairy Tourk berkata kesan negatif hanya berlaku pada suku tahun pertama, selepas itu sehingga akhir tahun keadaan kembali seperti biasa.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia memuji tindakan China dalam menangani wabak itu. Langkah pencegahan yang diambil bersesuaian dengan masa dan keadaan,” katanya.

Katanya, jika dibandingkan dengan kadar kematian akibat Zika dan Ebola, korban akibat Covid-19 jauh lebih rendah berbanding wabak lain.

“Jadi, apa yang berlaku sebenarnya ialah terlalu membesar-besarkan kesan negatif wabak itu,” katanya.

“Satu perkara positif mengenai ekonomi China ialah negara ini mampu membangunkan ekonomi digital, jadi pelajar boleh belajar dalam talian…saya juga terkejut bila dengar ada beberapa mahkamah di China sedang menjalankan perbicaraan secara dalam talian,” kata Tourk.

Katanya rakyat China sangat berdaya cipta dan pelbagai usaha diambil untuk mengurangkan kesan penularan penyakit dengan mengambil langkah tepat dalam menangani krisis itu.

Tourk menyeru semua masyarakat dunia bersama-sama berganding bahu dalam memerangi virus itu.

“Negara China yang sihat bermakna ekonomi dunia juga sihat,” kata Tourk.

-BERNAMA


Pengarang :