Kelihatan seorang lelaki berjoging di Taman Tasek Ampang Hilir, Kuala Lumpur selepas kerajaan membenarkan semula aktiviti itu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika tinjauan pada 17 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tingkat kawalan kendiri, putuskan jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Rakyat perlu terus meningkatkan komitmen dalam aspek kawalan kendiri bagi memutuskan sepenuhnya rantaian pandemik Covid-19 sekali gus memastikan negara bebas daripada jangkitan penyakit itu.

Setelah genap 100 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semalam bagi membendung wabak itu, orang ramai perlu kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana mengamalkan jarak sosial dan kebersihan diri adalah ‘vaksin terbaik’ terhadap penyakit itu, setakat ini.

Meskipun kerajaan banyak memberikan kelonggaran pada masa ini dan jumlah kes jangkitan semakin berkurangan, masyarakat diingatkan supaya tidak alpa kerana perjuangan memerangi wabak ini masih belum selesai.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kejayaan meratakan lengkungan graf pandemik Covid-19 dan juga mengurangkan penularan kes dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk masyarakat.

Katanya untuk memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan (PKPP) dengan kehidupan kebiasaan baharu, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar dengan mematuhi segala nasihat dan SOP ditetapkan.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes aktif kini menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, dan ia menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia membuat 65,937 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP.

Seramai empat inidividu ditahan atas kesalahan ingkar PKPP melibatkan dua individu direman dan dua lagi dikenakan kompaun atas kesalahan melibatkan aktiviti dalam pub atau kelab malam, refleksologi atau urut serta aktiviti yang melanggar SOP.

-BERNAMA


Pengarang :