Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuat persiapan sebelum berlangsung proses penamaan calon PRN Sabah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Senallang dan Bugaya ketika tinjauan di Dewan Masyarakat Semporna pada 11 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRN Sabah: Lebih 400 anggota polis bertugas pantau keselamatan

IPOH, 11 SEPT: Lebih 400 pegawai dan anggota tambahan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk dari Bukit Aman dihantar ke Sabah bagi membantu menjaga aspek keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN), yang bermula dengan penamaan calon, esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata antara pegawai dan anggota polis yang ditugaskan sepanjang kempen PRN Sabah adalah dari Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

“Saya nampak ia tidaklah begitu membebankan (tidak hantar ramai pegawai dan anggota dari Bukit Aman) ke Sabah kerana Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali) yakin ia mampu mengawal PRN dengan kekuatan pegawai dan anggota dari negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM sebagai “Organisasi Latihan Diiktiraf – Organisasi Latihan Penerbangan’ (ATO-FTO) dan ‘Organisasi Latihan Diiktiraf – Organisasi Latihan Penerbangan Mengikut Pengkelasan Pesawat‘ (ATO-TRTO) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di PLPGU Ipoh di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 September ini sebagai tarikh mengundi untuk PRN Sabah manakala 12 Sept sebagai tarikh penamaan calon.

-BERNAMA


Pengarang :