Pekerja sebuah stesen minyak di Damansara Heights melakukan proses sanitasi ke atas papan kekunci kad debit dan kredit di pam minyak sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan pada 19 November 2020. Foto BERNAMA.
AGENDANASIONAL

381 individu ditahan ingkar arahan PKPP

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Seramai 381 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan 377 daripadanya dikompaun manakala empat individu direman, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, antara kesalahan mereka ialah berkenaan aktiviti di pusat hiburan (96), tidak memakai pelitup muka (80), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (57), rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (33) dan lain-lain (46).

Beliau berkata dalam kenyataan di sini, hari ini, semalam Operasi Benteng berjaya menahan 20 pendatang tanpa izin, tiga penyeludup serta merampas sembilan kenderaan darat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 72,182 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 74 hotel serta 18 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 9,855 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 61,923 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Berkaitan pemantauan barang keperluan asas, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 673 premis perniagaan termasuk 482 peruncit, 160 pemborong dan 31 pengilang.

Ismail Sabri berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 1,045 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Berhubung Ops Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya sebanyak 35 operasi sanitasi meliputi sembilan zon merah, tiga zon jingga, enam zon kuning dan sembilan zon hijau melibatkan 10 negeri dan dua Wilayah Persekutuan kecuali Putrajaya, Sarawak dan Terengganu.

-BERNAMA


Pengarang :