Pegawai kesihatan menjalankan tugas di asrama pekerja wanita syarikat sarung tangan Top Glove di Meru pada 23 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KKMM bakal salur maklumat Covid-19 dalam bahasa Tamil, Mandarin

KUANTAN, 29 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang menambah baik penyampaian mesej mengenai pandemik Covid-19, khususnya dalam bahasa Mandarin dan Tamil, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat sedikit jurang dari segi penyampaian berita dan maklumat melibatkan dua bahasa berkenaan berbanding bahasa Melayu.

“Kami sedang perbaiki mesej yang disampaikan dalam bahasa Mandarin dan Tamil, begitu juga bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, kita juga sedang menambah baik penyampaian dalam bahasa Kadazan dan Iban.

“Malah, kita juga sedar rakyat Malaysia sudah mula letih dan tertekan untuk berhadapan dengan pandemik ini, justeru mesej yang KKMM nak sampaikan juga akan diperbaharui dan ditambah baik dari masa ke masa,” katanya pada sidang media selepas Program Indera Mahkota Prihatin hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata pihaknya turut mempertingkatkan lagi penyampaian berita melibatkan orang kurang upaya (OKU), selain membaiki penyaluran maklumat kepada warga asing dengan menggunakan perkhidmatan penterjemah.

“Untuk OKU pun kita kena baiki mesej yang nak disampaikan, misalnya berita RTM, sekiranya ada jurubahasa isyarat, latar belakang di televisyen warna merah, (namun) kita dapat maklumat warna merah itu tidak sesuai untuk OKU, biru lebih sesuai, jadi kita akan ubah.

“Bagi pekerja asing, tidak semua mereka faham bahasa yang kita gunakan, jadi kami gunakan penterjemah untuk bantu penyampaian maklumat, antaranya melibatkan bahasa Nepal dan Rohingya,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin mengingatkan majikan supaya memainkan peranan berhubung penyediaan tempat tinggal warga asing yang dilihat menjadi antara faktor penyebaran Covid-19 secara cepat membabitkan golongan berkenaan.

Menyentuh mengenai vaksin Covid-19, Saifuddin berkata kerajaan bersedia bekerjasama dan berunding dengan pelbagai pihak dalam usaha mendapatkan vaksin.

-BERNAMA


Pengarang :