Orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi untuk mengikuti program saringan Covid-19 yang diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Klang kekal tertinggi kes baharu Covid-19 empat hari berturut

SHAH ALAM, 18 DIS: Kes baharu Covid-19 dicatat di Klang hari ini mengekalkannya daerah tertinggi empat hari berturut-turut dengan 360 kes, kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Jabatan itu memaklumkan terdapat 271 kes di mukim Klang diikuti 89 di Kapar yang rata-rata peningkatan berpunca daripada saringan kontak rapat.

“Petaling pula pada kedudukan kedua selepas merekodkan 146 kes iaitu 57 di mukim Petaling diikuti Damansara (46), Sungai Buloh (39) dan Bukit Raja (empat).

“Manakala Hulu Langat ketiga dengan 67 kes apabila 29 daripadanya dilaporkan di Kajang, Ampang (17), Cheras (11), Semenyih (tujuh) dan Beranang (tiga),” katanya menerusi Facebook.

Menurutnya, selepas itu Kuala Selangor pula merekod 44 kes yang mana Ijok sebanyak 25, Tanjung Karang (11), Batang Berjuntai (empat), Jeram (tiga) dan Kuala Selangor (satu).

“Manakala daerah yang lain, Sepang mencatat 28 kes, Gombak (26), Hulu Selangor (13) serta Kuala Langat dan Sabak Bernam dengan masing-masing empat kes,” katanya.


Pengarang :