Dato’ Arjunaidi Mohamad (kanan) pada sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah dan menumpaskan dua makmal dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes pukul sebab puasa: Polis minta orang awam tidak keruh keadaan

SHAH ALAM, 17 April: Polis Diraja Malaysia menggesa dan menasihatkan masyarakat, agar tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri dan mengeruhkan keadaan susulan kejadian dua pengawal peribadi yang dipukul oleh majian kerana berpuasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya mengesan beberapa gesaan yang berbaur ugutan daripada pihak tertentu, untuk mengisytiharkan perang dan mengepung kawasan Klang.

“Kenyataan yang sebegini, boleh mengeruhkan keadaan, serta menjejaskan ketenteraman awam dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu beliau berkata beberapa video klip juga dikesan dimuat naik dari pelbagai platform media sosial, yang menggesa supaya tindakan setimpal diambil terhadap suspek.

Arjunaidi berkata, sehingga ini pihak polis mengesahkan seramai lima orang ditangkap melalui beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan.

Dari jumlah tersebut, katanya seramai empat orang ditangkap di Klang Selatan, Selangor sementara seorang lagi di Dang wangi, Kuala Lumpur dan kesemua suspek ditahan reman antara lima hari hingga tujuh hari.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih.

-BERNAMA

 


Pengarang :