AGENDANASIONAL

Anjang Aki meninggal dunia

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pelakon veteran, Datuk Baharuddin Omar menghembus nafas terakhir pada usia 85 tahun akibat sesak nafas di kediamannya di sini petang tadi.

Isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar memaklumkan arwah yang menghidap penyakit pembuluh darah bengkak meninggal dunia dalam bilik tidur pada jam 6.30 petang, menurut portal Berita Harian.

“Arwah baru selesai makan dan kemudiannya, masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik.

“Selepas itu, arwah tidak sedarkan diri. Saya dan dua anak berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir. Alhamdulillah, arwah pergi dengan tenang dan mudah,” katanya.

Allahyarham yang dikenali menerusi drama bersiri Anjang Aki pernah dimasukkan ke Hospital Shah Alam tiga tahun lalu selepas terjatuh dalam bilik air dan mengalami kecederaan bahagian kepala.

Antara filem lakonan adalah Kisah Seorang Biduan, Darah Satria, Dia Ibuku, Irisan-Irisan Hati, Abang, Ali Setan II, selain projek penerbitan filem antarabangsa dari Jepun dan Australia.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Ke-2 selama tiga penggal sejak 1978, selain Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Ahli Lembaga Penapis Filem (LPF).

Allahyarham meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazah akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor, esok.


Pengarang :