Jururawat Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhammad Burhan Hasan (kiri) bergambar bersama neneknya, Fatimah Muda selepas selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19 jenis Sinovac di pusat pemberian vaksin (PPV) UniSZA pada 18 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jururawat lelaki teruja dapat suntik vaksin nenek sendiri usia 102 tahun

KUALA NERUS, 18 JULAI: Seorang jururawat lelaki menzahirkan keterujaan apabila berpeluang melakukan suntikan vaksin Covid-19 kepada neneknya sendiri yang berusia 102 tahun, hari ini.

Muhammad Burhan Hasan, 31, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sejak setahun lepas berkata neneknya, Fatimah Muda sememangnya berharap menerima suntikan vaksin daripada cucunya sendiri namun orang awam tidak boleh memilih siapa yang akan menyuntik vaksin kepada mereka.

Justeru katanya, peluang itu bagaikan tuah dan menjadi kenangan manis yang bakal dikenang sepanjang hidupnya kerana secara tidak sengaja dapat menunaikan hasrat neneknya itu.

“Lega rasa hati dan syukur sangat dapat suntik vaksin kepada nenek sendiri kerana itu adalah permintaannya agar lebih selesa sepanjang proses suntikan.

“Rasa bangga dan bertuah kerana dapat berkhidmat untuk nenek, bukan semua orang ada peluang sebegini.… selain nenek, ada juga saudara-mara yang saya suntik sendiri jika kebetulan mereka hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UniSZA ini,” katanya kepada pemberita.

Menurut Muhammad Burhan, neneknya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi itu kini dijaga secara bergilir oleh lima anak berusia antara 50 hingga 70 tahun.

Ditanya mengenai persetujuan neneknya untuk mendapatkan suntikan vaksin pula, Muhammad Burhan berkata penerangan yang diberi oleh lima anak dan 30 cucu termasuk empat orang yang bekerja sebagai doktor dan jururawat banyak membantu pemahaman warga emas itu terhadap kebaikan vaksinasi.

“Nenek bersetuju terima suntikan selepas kami cerita apa pentingnya mendapatkan perlindungan melalui vaksin Covid-19 ini, cuma proses membawanya ke PPV terpaksa menggunakan ambulans kerana nenek perlukan katil khas dan tidak boleh duduk dalam tempoh terlalu lama jika menggunakan kenderaan biasa.

“Harapan saya agar generasi muda di luar sana juga akan memainkan peranan mereka untuk meyakinkan warga emas dalam keluarga mendapatkan vaksin demi kesihatan mereka,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :