Petugas membantu orang ramai mendaftar bagi mendapat suntikan vaksin Covid-19 pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Setia di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya pada 30 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selcare tambah pegawai perubatan di PPV, pastikan suntikan lancar

KELANA JAYA, 31 JULAI: Klinik Selcare menambah khidmat pegawai perubatan bagi menampung jumlah penerima vaksin yang tinggi di Kompleks Sukan PKNS, di sini semalam.

Langkah itu susulan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) dan Program Imunisasi Covid-19 (PICK) menerima suntikan pelalian serentak di pusat vaksin (PPV) berkenaan.

Penyelaras Selcare berkata pihaknya menambah empat lagi pegawai perubatan kepada lapan orang bagi menampung bilangan peserta sejak PPV itu dibuka minggu lalu.

“Hari ini (semalam) pertama kali program Selvax Komuniti DUN Seri Setia disertai peserta PICK, jadi untuk elak kesesakan, selain tambah kakitangan kita buat sistem sekatan mengikut janji temu.

“Kita juga membuat penerangan supaya peserta faham jika terpaksa menunggu lama. Bagaimanapun, proses berjalan lancar dari bahagian pendaftaran hingga pemantauan kesihatan,” kata Mohd Noor Hafiz Md Zamri.

Beliau turut menasihati orang ramai yang menerima janji temu melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau MySejahtera supaya mengikut masa ditetapkan bagi mengelak kesesakan.

“Ada yang patut divaksin esok tetapi datang hari ini. Kita faham semua ada urusan namun perlu ikut jadual supaya tidak sesak dan proses berjalan dengan baik,” katanya.

Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalinkan kerjasama dengan membenarkan individu yang mendapat janji temu di MySejahtera menerima vaksin dari program Selvax.

Kerjasama itu berjalan di beberapa PPV terpilih bagi mempercepat proses vaksinasi penduduk sekali gus mencapai imuniti kelompok.

 


Pengarang :