Jemaah menunaikan solat sunat tarawih dalam norma baharu dengan melakukan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi mengekang penularan Covid-19 ketika tinjauan di Masjid Sultan Abdul Samad Sungai Raba, Banting pada 12 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Jangan banding negeri lain, masjid dibuka jika kes Covid-19 turun

SHAH ALAM, 11 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah bukan sesuatu yang mudah mengehadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat-solat fardhu dan solat Jumaat di masjid negeri ini.

Tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, keputusan itu diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data serta statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Selangor.

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, negeri ini merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu sehingga 9 Julai 2021.

Justeru, baginda bimbang kerana pada akhir Jun lalu, data juga menunjukkan kematian dalam kalangan bangsa Melayu di negeri ini mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu.

“Misalnya beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di Selangor.

“Baginda kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan SOP dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas,” maklum kenyataan yang dikongsi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda juga meluahkan perasan tidak sanggup lagi melihat visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

“Disebabkan itu, sehingga hari ini, walaupun berat hati, baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam yang baginda kasihi,” jelas kenyataan.

Tegas DYMM sultan, kesan penularan wabak Covid-19 berbeza di setiap negeri, justeru perbandingan (membuka masjid) tidak boleh dibuat secara kasar, malah Selangor sehingga kini kekal dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun baginda bertitah, masjid dan surau akan dibuka sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat.

Selangor mengehadkan hanya enam individu dibenarkan menunaikan solat fardhu dan solat Jumaat terdiri imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid.

 

 


Pengarang :