AGENSISELANGOR

Mohon skim baharu Hijrah di cawangan, bakal diperluas dalam talian

SHAH ALAM, 5 NOV: Usahawan ingin memohon tiga skim baharu pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) boleh berbuat demikian menerusi cawangan agensi berkenaan mulai semalam.

Pengarah Eksekutifnya Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata permohonan secara dalam talian menerusi pautan http://167.172.13.68/ akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Hijrah menjemput usahawan yang ingin memulih dan memulakan semula perniagaan untuk memohon segera pembiayaan menerusi tiga skim baharu itu.

“Buat sementara waktu mereka boleh memohon menerusi cawangan Hijrah di setiap daerah, tidak lama secara dalam talian,” katanya semalam.

Pada 27 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan skim i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim di bawah Hijrah yang berkonsepkan islamik.

Skim berkenaan diperkenal bagi usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan Covid-19.

Amirudin menjelaskan jumlah pinjaman ditingkatkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 untuk mengembangkan perniagaan.

Berikut penerangan lanjut tiga skim tersebut:

1. Skim i-Lestari

Menawarkan modal tambahan lebih tinggi antara RM51,000 sehingga RM100,000
Ditawarkan kepada usahawan sedia ada yang mahu mengembangkan lagi perniagaan

2. Skim i-Agro

Ditawarkan kepada usahawan sektor pertanian (penyediaan hab bekalan makanan), penternakan dan akuakultur
Modal tambahan antara RM1,000 sehingga RM50,000

3. Skim i-Bermusim

Khusus buat usahawan yang memerlukan modal pusingan untuk perniagaan bermusim seperti bazar ramadan, bazar perayaan dan gerai buah-buahan bermusim
Membantu memulih dan mengembangkan cabang perniagaan sampingan sedia ada dalam tempoh singkat


Pengarang :