Selangorkini
Rodziah Ismail menjawab soalan dalam Dewan Negeri Selangor pada 8 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

EXCO: Bantu pengurusan pangsapuri jana pendapatan, tampung kos selenggara

SHAH ALAM, 8 DIS: Kerajaan Negeri sentiasa membantu badan pengurusan bersama (JMB) membabitkan kos penyelenggaraan perumahan strata terutama jenis kos rendah.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata antara bantuan diberikan adalah melibatkan JMB bermasalah dalam program kebun komuniti sekali gus mempunyai pendapatan membayar semula caj penyelenggaraan.

“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada dasar khusus untuk membantu JMB berhubung penyelenggaraan perumahan berstrata terutama jenis kos rendah.

“Peruntukan Seksyen 9(1) Akta 757 menyatakan tanggungjawab penyelenggaraan di bawah pemaju jika belum diserahkan kepada JMB. Seksyen 21(1) akta sama pula menyatakan kewajipan JMB untuk menyelenggara melalui hasil kutipan daripada pemilik petak,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kota Damansara Shatiri Mansor berhubung dasar Kerajaan Negeri untuk membantu kos penyelenggaraan atau pembaikan perumahan strata dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan program yang dapat membantu meningkatkan sumber kewangan JMB pangsapuri terutama kos rendah dan sederhana rendah.

Program tersebut adalah Kebun Komuniti atau Laman Hijau Strata, K-Inovasi Pusat Kitar Strata dan Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Selangor.


Pengarang :