Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bergambar bersama selepas menerima keputusan SPM masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 18 (1) pada 16 Jun 2022. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

DUN Kuala Kubu Bharu sedia hadiah wang tunai kepada pelajar cemerlang SPM

SHAH ALAM, 17 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menawarkan hadiah wang tunai kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata inisiatif itu bertujuan menghargai pelajar di samping menggalakkan mereka belajar dengan bersunguh-sungguh pada masa akan datang.

“Ganjaran seperti ini sudah dilaksanakan sejak 2014 dan ia adalah tahun kesembilan DUN Kuala Kubu Bharu meraikan pelajar cemerlang dengan pemberian hadiah dalam bentuk wang tunai,” katanya kepada Selangorkini.

Pelajar yang memperoleh keputusan 5A bakal menerima wang tunai RM100 diikuti RM150 (6A), RM200 (7A), RM250 (8A), RM300 (9A) dan RM350 bagi 10A ke atas.

Antara syarat permohonan adalah ibu bapa pelajar adalah pengundi di DUN Kuala Kubu Bharu dan mereka boleh memohon menerusi pautan https://forms.gle/GKMMwj8DgUAXWK5S7 sebelum 30 Jun ini dengan memuat turun slip peperiksaan serta sijil kelahiran.

Mereka yang layak akan diraikan dalam satu majlis keraian yang diadakan pada Julai ini. Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian pusat khidmat masyarakat DUN Kuala Kubu Bharu 03-6064 5505 atau 011-19728303 (Ain).


Pengarang :