Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki (kanan) melancarkan talian khas aduan keganasan rumah tangga SELamat di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan abai tekanan perasaan, EXCO nasihat luah pada pakar

SHAH ALAM, 13 OGOS: Individu yang mengalami tekanan, kegelisahan dan kemurungan dinasihat meluahkan masalah mereka kepada kaunselor profesional menerusi Talian SEHAT.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata sekiranya perkara itu dibiar, dibimbangi memakan diri sehingga membawa kepada tindakan tidak sewajarnya.

“Biasanya, individu yang mengalami gangguan ini berasa sangat berat untuk berkongsi dan cenderung menyendiri malah mengharapkan ia reda dengan sendiri.

“Namun, sikap ini sebenarnya amat bahaya dan hanya akan memakan diri. Jangan ambil mudah! Kongsi perasaan anda kepada kaunselor bertauliah,” katanya di Facebook.

Orang awam yang ingin meluahkan masalah mereka boleh menghubungi talian yang beroperasi 24 jam menerusi 1700-82-7536 atau 1700-82-7537.

Talian SEHAT diwujudkan awal Jun lalu yang dikendalikan oleh kaunselor berpengalaman untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

SEHAT boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah. Antara fungsi boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

 


Pengarang :