Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di Mahkamah Persekututuan bagi mendengar hujahan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Najib jalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.

“Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.

Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata beliau.

Semasa memerintahkan Najib untuk menjalani hukuman serta-merta, Tengku Maimun berkata: ”Saya keluarkan waran komital.”

Peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon penangguhan hukuman sementara satu permohonan semakan ke atas keputusan hari ini.

“Permohonan ditolak. Mahkamah ditangguhkan,” Tengku Maimun berkata demikian sebelum meninggalkan mahkamah.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Najib dijangka menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

-BERNAMA


Pengarang :