Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Kuala Langat pada 2 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Perlindungan insurans RM10,000 dilancar Oktober, manfaat enam juta rakyat

KUALA LANGAT, 2 SEPT: Selangor menyasarkan enam juta rakyatnya menerima manfaat Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang bakal dilancarkan pada Oktober ini.

Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini pihaknya sedang memuktamadkan proses pelaksanaan perlindungan insurans tersebut termasuk pemilihan agensi untuk mengendalikan skim terbabit.

“Kita sedang teliti mengenainya, kita jangkakan akan memuktamadkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MKN) akan datang.

“Secara asasnya pelaksanaan INSAN dipersetujui semua, tetapi kita masih fikirkan prosesnya. Selangor ada antara enam hingga tujuh juta rakyat. Jadi kita sasar enam juta rakyat akan daftar INSAN,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Pada 30 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai enam juta rakyat bakal menerima perlindungan insurans am berkumpulan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Ditawarkan kepada penduduk dari usia 30 hari ke 80 tahun, inisiatif INSAN bertujuan membantu meringankan beban mereka yang dihimpit masalah.

Menurut Dato’ Menteri Besar, setiap individu menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu boleh didaftar mulai 1 Oktober ini.


Pengarang :