AGENDANASIONAL

Remaja hilang di Sepang ditemui di Shah Alam, tiga individu ditahan

SEPANG, 28 DIS: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Taman Salak Maju di sini Ahad lepas, ditemukan selamat di sebuah kondominium di Seksyen 13 Shah Alam, semalam.

Salsabila Putri Mad Nasir, 13, ditemukan di lokasi berkenaan bersama seorang lelaki dan wanita berusia 19 dan 18 tahun oleh anggota polis pada kira-kira pukul 9 malam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki berumur 21 tahun di sekitar tempat sama kira-kira setengah jam kemudian, di samping merampas tiga unit telefon bimbit, dua helai baju serta seluar, dua topi keledar serta sebuah motosikal Yamaha 15 yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Ketiga-tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Siasatan awal mendapati dua lelaki yang ditahan mengaku terlibat dalam kes itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Mereka mengaku menaiki motosikal untuk berjumpa remaja itu. Kemudian remaja itu bersama salah seorang lelaki berkenaan menaiki Grab, manakala seorang lagi lelaki menunggang motosikal pulang ke Shah Alam,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian Ahad lepas, Salsabila Putri disedari hilang oleh abangnya pada pukul 2.30 pagi dan ramaja itu dikesan berjumpa dengan seorang lelaki, yang telah membawanya keluar daripada kawasan Taman Salak Maju di sini.

-BERNAMA


Pengarang :