Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada sidang media selepas mengadakan lawatan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di AEON Mid Valley, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDN tubuh pasukan khas tangani isu ketirisan subsidi diesel

JOHOR BAHRU, 25 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menubuhkan pasukan bertindak khas yang diketuai Ketua Setiausahanya Datuk Azman Mohd Yusof bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel hampir RM10 bilion.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata arahan telah dikeluarkan bulan lepas bagi meminta pasukan tersebut segera bertindak mengekang ketirisan subsidi diesel daripada terus berlaku.

“KSU (Azman) sejak sebulan lepas bersama Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam telah meronda dan melihat logistik di semua lokasi penting khususnya kawasan pedalaman termasuk Sabah serta Sarawak.

“KPDN khuatir di situlah banyak berlaku ketirisan diesel selain di pangkalan nelayan yang dikhuatiri turut berlaku ketirisan diesel untuk nelayan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Kembali ke Sekolah peringkat negeri di Taman Bukit Indah di sini hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata KPDN kini mempunyai 2,100 anggota penguat kuasa yang akan menyambut cabaran meminimumkan ketirisan diesel di seluruh negara.

Beliau berkata pihaknya juga telah membuat pelbagai tangkapan tahun lepas antaranya menerusi Ops Terjah, yang bukan sahaja dilaksanakan bagi menangani isu ketirisan diesel malah minyak peket bersubsidi dan telur bersubsidi.

Ditanya sama ada KPDN akan mengetatkan prosedur mendapatkan diesel bersubsidi, Salahuddin berkata kementeriannya akan meneliti semula data ketirisan diesel dengan terperinci sebelum membuat keputusan lanjut.

“Data berkenaan (ketirisan diesel) kita perlu teliti dan periksa untuk dikemas kini terlebih dahulu. Sebarang langkah lanjut memerlukan kerjasama dengan kementerian lain terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang memberi diesel kepada nelayan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel dipercayai diseleweng tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :