Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor mengesan aliran air berwarna biru punca kualiti air Sungai Gong tercemar sekitar jam 1 pagi pada 7 April 2023. Foto Hee Loy Sian
AGENDANASIONAL

Kualiti air Sungai Gong kembali pulih menerusi tindak balas rawatan biologikal

SHAH ALAM, 7 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya mengawal sepenuhnya pencemaran di Sungai Gong, Rawang yang dikesan berlaku awal pagi tadi dan kualiti air kembali normal  dengan bacaan 0 ton pada 6 pagi.

EXCO alam sekitar berkata kejayaan itu hasil tindak balas projek rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang kini sedang dilaksanakan di Sungai Gong dan Sungai Sembah sejak Julai 2022.

“Pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas Luas sekitar jam 1 pagi tadi mengesan aliran air berwarna biru di Sungai Gong.

“Luas telah mengaktifkan kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air dan memantau melalui pensampelan bersama pihak Pengurusan Air Selangor

“Aliran pencemaran berkenaan berpotensi menyebabkan gangguan operasi loji rawatan air (LRA) utama iaitu LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2, dan SSP3 yang mana alirannya akan masuk ke Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor,” kata Hee Loy Sian dalam kenyataan hari ini.

Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor mengesan aliran air berwarna biru punca kualiti air Sungai Gong tercemar sekitar jam 1 pagi pada 7 April 2023. Foto Hee Loy Sian

Beliau memaklumkan, hasil siasatan Luas menemukan punca aliran berwarna biru tersebut daripada saluran paip di longkang sebuah premis kilang di Integrated Industrial Park, Rawang.

“Luas mengarahkan premis berkenaan menghentikan segera pelepasan efluen tersebut dan melaksanakan kerja pembersihan serta-merta selaras seksyen 121(1), Enakmen Luas 1999.

“Luas membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1)(c) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga (3) tahun sebagai tindakan tegas terhadap premis tersebut,” katanya lagi.

SJAM adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani permasalahan kualiti dan kuantiti sumber air negeri. Ia juga antara langkah penyelesaian bagi insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah dari hulu sehingga ke hilir.

Sejak dilaksanakan pada Julai tahun lalu, SJAM berjaya pengurangan sedimen terkumpul sekali gus meningkatkan kualiti Sungai Gong.


Pengarang :