(Dari kiri) Syafie Naswip, Sophia Albarakbah dan Zarul Iman menjayakan drama Selalu Ada yang dijadual bersiaran pada jam 9 malam, 3 Mei 2023 di saluran TV2. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pelakon kongsi cerita di sebalik penggambaran drama Selalu Ada

Oleh NAZLI IBRAHIM, ZAREEF MUZAMMIL dan SHEEDA FATHIL
Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Pelakon terkenal Sophia Albarakbah menganggap drama Selalu Ada yang dijadual menemui penonton jam 9 malam pada 3 Mei di saluran TV2 sarat mesej kekeluargaan dan persahabatan.

Bekas model berusia 29 tahun menyifatkan karya yang turut memaparkan kepentingan bantuan sesebuah kerajaan kepada orang ramai wajar ditonton seisi keluarga dalam sambutan Syawal.

“Ada mesej tentang persahabatan, kekeluargaan dan macam mana sesebuah negeri membantu rakyatnya. Ceritanya mudah tetapi beri mesej berguna,” katanya kepada Selangorkini.

Memegang watak sebagai Jasmin yang kerap dilanda kemurungan, beliau yang sering menjadi ‘pelakon air mata’ tidak kekok berlakon sebagai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

Lepasan bidang bioteknologi dan dietetik di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) itu juga menganggap dirinya bertuah kerana mendapat keserasian semasa hari pertama penggambaran pada 4 April.

Sophia bersama pelakon lain antaranya Zarul Iman dan Syafie Naswip juga berkumpul, membaca dan menghayati skrip bersama bagi menghidupkan watak masing-masing.

Erra Fazira atau nama sebenar Fazira Wan Chek yang berpengalaman luas dalam dunia seni juga selesa bekerjasama dengan mereka.

“Keserasian itu boleh dicipta di set penggambaran. Perkara itu tiada masalah walau kita baharu bersua muka,” katanya yang memegang watak Jayana, kakak kepada Jasmin.

Syafie Naswip ketika pengambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13, Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Tidak seperti Sophia yang memegang watak utama, bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 yang kini berusia 49 tahun pula hanya berlakon babak beberapa minit dalam drama berkenaan.

“Jayana sentiasa jadi penyokong kepada adiknya Jasmin yang baharu tamat sekolah dan mahu sambung pelajaran,” katanya merujuk kepada peranan wataknya.

Drama 45 minit arahan Che Mie terbitan Kerajaan Selangor mengisahkan cabaran yang ditempuhi tiga sahabat untuk melanjut pengajian ke menara gading.

Karya tersebut juga menyelitkan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan pentadbiran negeri kepada segenap lapisan masyarakat berpendapatan rendah.

Erra Fazira tampil dalam drama Selalu Ada dengan watak Jayana, ketika ditemui Media Selangor di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13, Shah Alam pada 5 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor menyediakan peruntuan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.

Pada tahun lalu dan sebelumnya, Kerajaan Selangor menerbitkan program Senandung Aidilfitri bagi mengisi sambutan raya berikutan dampak pandemik Covid-19.

Pada kali ini, Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO negeri Borhan Aman Shah turut membuat penampilan khas.

Serasi

Pelakon lain Syafie Naswip yang membawa watak Faqih, seorang yang ceria, positif dan bijak menyembunyikan emosi, mengakui mudah serasi dengan Sophia meski pertama kali bergandingan.

“Dengan Zarul Imran banyak kali berlakon (bersama) tetapi dengan Sophia pertama kali. Jadi, kami bina keserasian dengan sembang dan hafal skrip bersama-sama tetapi ikut cara masing-masing.

“Mahu cari keserasian ada banyak cara. Kalau masa panjang lebih bagus tetapi kalau tidak, perlu raptai banyak kali untuk cari tempo yang betul,” kata artis berusia 31 tahun itu.

Teruja berlakon dalam drama dengan kerjasama Kerajaan Selangor, Syafie juga mengakui seronok membawa watak Faqih yang tidak mudah menunjukkan kesedihannya kepada orang lain.

Kru produksi terlibat dalam pengambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13, Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Dia (Faqih) hargai situasi sakit atau perpisahan tetapi kalau boleh dia mahu kawan-kawan dia ‘move on’ sebab insya-Allah nanti boleh jumpa lagi,” katanya mengulas perwatakan Faqih.

Zarul pula ada cara tersendiri bagi mendapat keserasian dengan pelakon lain. Beliau beramah mesra dengan pelakon dan kru bagi meraih keyakinan ketika beraksi depan kamera.

“Saya jalinkan hubungan baik atau sesuaikan diri dengan tegur semua orang walau tidak kenal mulanya. Buang sifat sombong dan angkuh sebaliknya rendah diri, ramah dengan semua orang.

“Apabila kita kenal semua orang dan mesra, kita akan rasa lebih yakin. Daripada situ, kita dapat keserasian dengan pelakon lain,” katanya sambil mengajak anak muda menonton drama itu.

Dalam karya tersebut, Zarul membawa watak Salahuddin, seorang yang naif, baik dan alim.

“Paling banyak menonjolkan perwatakan dia dalam cerita ini adalah sifatnya menghormati orang lebih tua,” katanya yang sebelum ini kerap membawa watak orang jahat atau nakal.


Pengarang :