Timbalan Mufti Negeri Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris (kanan) sedang melihat anak bulan melalui teleskop bagi menetapkan tarikh awal Ramadan di Balai Cerap Bukit Jugra Banting pada 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan seru umat Islam bertenang, elak spekulasi tarikh Aidilfitri

SHAH ALAM, 10 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru umat Islam kekal tenang dan tidak menimbulkan spekulasi sementara menunggu pengisytiharan rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menasihati umat Islam supaya menghormati proses ditetapkan dan menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal kepada pihak berkuasa.

“Baginda menyeru umat Islam agar kekal tenang dan tertib dalam keadaan harmoni serta tidak menimbulkan spekulasi yang boleh mengelirukan, sementara menunggu pengisytiharan rasmi tarikh Hari Raya Puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Khamis, bersamaan 20 April 2023.

“Baginda ingin mengingatkan umat Islam di negara ini bahawasanya Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan ru’yah dan hisab,” menurut kenyataan disiarkan di Facebook Selangor Royal Office.

Baginda juga menitahkan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir untuk menjelaskan kaedah penentuan awal Ramadan dan Syawal seperti nas al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, iaitu melihat anak bulan.

Pada 7 April, Jabatan Mufti Selangor memaklumkan permulaan awal bulan Islam bergantung kepada penampakan hilal dan data-data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara.

Bagaimanapun, Dr Anhar berkata setiap negara mempunyai matla’ruyah berbeza dan tidak tertakluk kepada kenampakan hilal atau data-data kedudukannya di negara lain.


Pengarang :