Beregu campuran Bryan Jeremy Goonting-Chan Wen Tse mengatasi Hong Kong 5-0, pada aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia pada 7 Julai 2023. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan berpasukan campuran remaja di AS

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Malaysia melangkah ke pusingan separuh akhir Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas India dalam aksi suku akhir pada Khamis.

Pada aksi yang berlangsung di Podium, gandingan beregu campuran Bryan Jeremy Goonting-Chan Wen Tse hanya memerlukan 36 minit untuk menyumbangkan mata pertama buat negara selepas menewaskan Sathwik Reddy Kanapuram-Vaishnavi Khadkekar, 21-12 dan 21-16.

Momentum itu diteruskan perseorangan lelaki Eogene Ewe dalam pertembungan tiga set 21-18, 16-21, 21-16 ke atas Ayush Shetty dalam tempoh 62 minit untuk meraih mata kedua buat kem badminton remaja negara.

Pemain perseorangan wanita remaja negara, Ong Xin Yee tanpa menoleh belakang terus menyumbang mata ketiga bagi melengkapkan kemenangan buat Malaysia dengan menumpaskan Devika Sihag 18-21, 21-16 dan 21-14.

Skuad remaja negara akan meneruskan perjuangan bertemu China pada aksi separuh akhir lewat hari ini.

Pada edisi lepas, Malaysia menamatkan saingan berpasukan campuran di tempat kesembilan selepas menewaskan Denmark 4-1.

– BERNAMA

 


Pengarang :