Pemain skuasy negara meraikan kemenangan menumpaskan India di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou, China pada 28 September 2023. Foto Facebook Flash Sukan
AGENDASUKANKINI

Pasukan skuasy wanita, lelaki berentap di separuh akhir esok

HANGZHOU, 28 SEPT: Pasukan skuasy wanita negara, yang menamatkan saingan peringkat kumpulan tanpa kalah, akan berdepan Korea Selatan dalam separuh akhir acara berpasukan esok.

Malaysia yang meraih gangsa pada Sukan Asia yang lepas, mengungguli Kumpulan B selepas menewaskan India 3-0 dalam perlawanan kumpulan terakhir di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou di sini, hari ini.

Pemenang perak acara perseorangan wanita edisi temasya yang lepas, S.Sivasangari memberikan permulaan yang baik buat Malaysia apabila menundukkan Joshna Chinappa 11-6, 11-2, 11-8.

Bagaimanapun pemain nombor satu kebangsaan Aifa Azman terpaksa berdepan tentangan hebat daripada Tanvi Khanna sebelum mencatatkan 9-11, 11-1, 7-11, 13-11, 11-5 selepas 43 minit, manakala Rachel Arnold menamatkan saingan dengan mengetepikan pemain remaja 15 tahun Anahat Singh 11-7, 11-7, 14-12.

Sivasangari berkata mereka yakin dapat meneruskan momentum kemenangan itu pada perlawanan seterusnya dalam usaha merampas semula kejuaraan acara berpasukan yang dimenangi Malaysia di Guangzhou 2010 dan Incheon 2014.

“Jika anda mahu memenangi sesuatu kejohanan, perlu kalahkan semua orang. Saya dan rakan sepasukan memasuki gelanggang dengan tetapan minda itu, percaya dengan diri sendiri dan permainan. Semasa saya bermain di Sukan Asia yang lepas di Jakarta-Palembang ia adalah situasi yang sangat berbeza.

“Datuk Nicol David dan Low Wee Wern masih bersama kami ketika itu, saya pemain yang lebih muda. Tetapi kali ini saya perlu memikul lebih tanggungjawab. Namun, pada saya, keempat-empat kami (termasuk Aira Azman) membentuk satu pasukan yang mantap,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Sementara itu, Aifa berkata beliau agak gementar pada awal perlawanan, bagaimanapun dapat menenangkan diri semula untuk ‘menjinakkan’ Tanvi yang menunjukkan persembahan lebih baik berbanding sewaktu Kejohanan Berpasukan Skuasy Asia tahun lepas yang dimenangi Aifa 3-0.

Sebelum ini, pasukan wanita negara menewaskan Nepal, Pakistan dan Macau 3-0 untuk menjuarai peringkat kumpulan, manakala Korea Selatan mengalahkan Mongolia dan Thailand 3-0, mengetepikan Jepun 2-1 dan kecundang 0-3 kepada johan Kumpulan A Hong Kong untuk menduduki tempat kedua.

Sementara itu, pasukan lelaki negara akan bertemu India dalam separuh akhir selepas mengetepikan cabaran Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir Kumpulan B dan sekali gus muncul johan kumpulan.

Malaysia, sebagai juara bertahan acara itu, meraih mata pertama apabila Ng Eain Yow menewaskan Henry Leung Chi-hin 11-4, 11-3, 12-10, namun gagal meraih mata di saingan kedua selepas Ivan Yuen ditundukkan Tang Ming Hong 6-11, 11-5, 11-7, 4-11, 3-11.

Mohd Syafiq Kamal bagaimanapun mengesahkan kemenangan buat Malaysia apabila beliau bangkit di set kedua selepas kecundang di set pertama, untuk menewaskan Wong Chi Him 3-11, 12-10, 11-8, 11-9.

— BERNAMA


Pengarang :