Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel Saujana Kuala Lumpur, Subang Jaya pada 9 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN makin kukuh, tarik kepercayaan wakil rakyat pembangkang

SHAH ALAM, 10 MAC: Kedudukan kukuh Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika ini menimbulkan kepercayaan semua pihak termasuk dalam kalangan wakil rakyat pembangkang, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pengerusi HARAPAN Selangor berkata terbaharu seorang ahli dewan negeri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan kepada kepimpinannya sebagai Dato’ Menteri Besar sekali gus menunjukkan kekuatan kerajaan.

“Hari kedua kempen (pilihan raya negeri), saya sebut kita yakin ada 33 kerusi dan berakhir dengan 34. Sekarang diam-diam dah masuk 35 apabila seorang lagi bagi sokongan baharu.

“Walau ada beberapa isu yang perlu kita tangani dan atasi, tetapi dari segi sentimen kepercayaan politik dan rakyat ada turun naik, tetapi kita terima kepercayaan,” katanya menutup Konvensyen Penerangan KEADILAN di sini semalam.

Ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendengar ucapan Naib Presiden Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel Saujana Kuala Lumpur, Subang Jaya pada 9 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tambah Amirudin dalam tempoh tiga tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri paling tinggi mendapat kepercayaan berbanding Tan Sri Muhyidddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

“Pada 2021, dari segi kepercayaan Muhyidddin terima bawah 50 peratus dan lepas UMNO tarik sokongan, terus hilang kepercayaan.

“Ismail pula mentadbir 14 bulan, lepas tiga bulan kena saman RM10,000 sebab langgar perintah kawalan, terus tak pernah menikmati nikmat 50 peratus sokongan rakyat.

“Walau kata PMX tak stabil tapi kita kena tahu Anwar sekarang mendapat sokongan dan dokongan lebih 50 peratus rakyat, lebih tinggi dalam tiga tahun ini,” katanya.

Pada Rabu, wakil rakyat Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari nenyatakan sokongan kepada kepimpinan Amirudin berikutan Perikatan Nasional (PN) Selangor berdiam diri terhadap tohmahan kepada Raja-Raja Melayu.

Menegaskan keputusan itu dibuat dengan rela hati, bekas pengerusi Bersatu Selangor dalam kenyataan berpendapat tindakan gabungan tersebut juga berlawanan prinsip orang Melayu beragama Islam.

Jelasnya, langkah itu turut mengambil kira pujian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap pentadbiran Amirudin dalam landasan tepat demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.


Pengarang :