Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) Kumpulan PKNS Suhaimi Kasdon (empat, kiri) mengagihkan pek makanan kepada warga gelandangan pada program Berbuka Puasa Bersama Gelandangan; Ramadan Kasih PKNS 2024 di Warung Makan Sahabat pada 18 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

PKNS kongsi rezeki dengan gelandangan sekitar Chow Kit, agih 300 pek makanan

KUALA LUMPUR 18 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyantuni golongan kurang bernasib baik termasuk gelandangan menerusi Ramadan Kasih PKNS siri keempat di sekitar ibu kota hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi program bersiri itu bertujuan memberi peluang kepada PKNS berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.

“Program Berbuka Bersama Gelandangan Ramadan Kasih PKNS hari ini mengagihkan 300 bungkusan makanan kepada golongan tersebut di sekitar Jalan Chow Kit.

“PKNS memilih gelandangan kerana menyedari dalam keadaan ekonomi hari ini, golongan ini kian bertambah terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Oleh itu pendekatan membantu mereka adalah langkah yang sangat digalakkan dalam agama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suhaimi berkata seramai 30 sukarelawan terdiri daripada kakitangan PKNS terlibat dalam program hari ini bagi membantu mengedarkan juadah selain berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah bersama golongan tersebut.

Menurutnya tiga siri program yang diadakan sebelum ini adalah menyantuni penghuni Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Islam / Miskin Daerah Sabak Bernam (Ukhuwah) dengan program ‘shopping’ raya bersama, sumbangan bekal Ramadan kepada orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan dan edaran bubur lambuk kepada orang awam.

– BERNAMA


Pengarang :