Penguat kuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang menyita gerai jualan milik warga asing di Pangsapuri Blok 16 dan 17, Jalan Abdul Samad Bandar Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang dalam operasi pada 24 Mac 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang
PBTSELANGOR

Sembilan penjaja termasuk empat warga asing diambil tindakan berniaga tanpa lesen

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Bandaraya Diraja Klang mengambil tindakan menyita barang niaga milik empat penjaja warga asing yang beroperasi di Pangsapuri Blok 16 dan 17, Jalan Abdul Samad Bandar Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan dalam operasi bersepadu Ahad lalu, lima penjaja tempatan turut diambil tindakan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Siasatan mendapati terdapat penjaja menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di kawasan tersebut antaranya menjual pakaian, sayur-sayuran dan bahan mentah.

“Tujuh kompaun dikeluarkan dan enam tindakan sitaan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) 3 Penjaja dan Undang-undang Kecil (UUK) (MPK) 2007 diambil,” katanya menerusi Facebook.

Dalam perkembangan lain MBDK turut mengeluarkan kompaun terhadap sebuah premis di Jalan Sungai Kapar Indah 2/Ku7, Taman Sungai Kapar Indah, Meru yang beroperasi tanpa lesen perniagaan dan iklan sah daripada pihak majlis.

“Tiga kompaun diserah kepada wakil syarikat iaitu pekerja di bawah UUK3 Undang Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007, serta UUK7 Undang Undang Kecil Iklan (MPK) 2007,” katanya.


Pengarang :