Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah pada 20 April 2024. Foto AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

Bantuan kelompok memerlukan ditambah, tumpu hapus miskin tegar

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan menumpukan usaha untuk menjayakan agenda reformasi dengan membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang politik.

Perdana menteri berkata pentadbirannya tidak pernah mengurangkan peruntukan kebajikan malah menambah pelbagai jenis bantuan kepada setiap kelompok yang memerlukan.

“Kita tidak pernah lupakan mereka (golongan memerlukan). Bagi orang elit, ini tidak penting. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun ini kita sediakan RM10 bilion berbanding tahun lalu hanya RM8 bilion sahaja. Seramai sembilan juta rakyat dapat manfaat.

“Selain itu Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula kita tambah lima kali ganda daripada RM130 juta tahun lalu kepada RM700 juta.

“Manakala bantuan untuk murid sekolah dari darjah satu sampai tingkatan lima semua pelajar Melayu, pelajar Cina dan pelajar India, termasuk di Sabah dan Sarawak dapat, dengan jumlahnya untuk tahun 2024 ialah RM800 juta,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat di Konvensyen KEADILAN ke-25 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya tujuh negeri berjaya merekodkan sifar kemiskinan tegar setakat April lalu iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor.

“Setiap negeri yang saya lawati, soalan pertama saya ialah setakat mana selesaikan kemiskinan tegar. Saya tidak kira parti mana, tanggungjawab kerajaan mesti bantu selesaikan,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan juga menjaga kebajikan penjawat awam dengan menambah baik Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan 1 Mei nanti.

“Sebab itu kerajaan melaksanakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), untuk membantu kerajaan memberikan bantuan kepada yang layak,” katanya.

“Ini yang dikatakan reformasi atau dalam erti kata apa manfaat kepada golongan miskin, pekerja ladang, nelayan di kampung, pekebun kecil Melayu, India di estet, penjawat awam. Ini yang mesti disampaikan dan ini memerlukan reformasi,” katanya.


Pengarang :