Kenderaan jenazah membawa mangsa nahas insiden helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 23 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bedah siasat mangsa nahas helikopter selesai, dibawa pulang mulai hari ini

LUMUT, 24 APRIL: Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selesai 2.20 petang tadi.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan jenazah mangsa beragama Islam dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah.

Selain itu, jasad mendiang Lt T Sivasutan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan sebelum disemadikan esok manakala jasad mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Serian, Sarawak untuk disemadikan.

Kenyataan itu memaklumkan pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing mengenai kejadian itu.

“TLDM akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada waris sebaik mungkin,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris.

Dalam kejadian 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM maut dalam tragedi dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut di sini.

– BERNAMA


Pengarang :