Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir (tengah) pada sidang media mengenai operasi KDEBWM sepanjang Aidilfitri di Ibu Pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 5 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

KDEBWM sedia tong Roro kutip sampah pukal di tiga PBT

SHAH ALAM, 6 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyediakan tong ‘Roll On Roll Off’ (Roro) bagi kutipan sampah pukal di tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata PBT itu adalah Majlis Bandaraya Shah Alam; Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Sepang.

“Kita laksanakan di tiga PBT ini kerana hampir setiap tahun banyak permintaan penduduk di kawasan ini.

“Kita mengalu-alukan orang awam segera membuat permohonan sekiranya mahu sampah pukal seperti perabot atau tilam dikutip di kawasan kediaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media KDEBWM berhubung Taklimat Operasi Kutipan Sisa Pepejal pada Aidilfitri 2024 di sini semalam.

Beliau menjelaskan, permohonan kutipan sampah pukal boleh dibuat menerusi aplikasi iClean Selangor yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store atau Apple Apps Store.

“KDEBWM akan memproses permohonan dalam tempoh 24 jam. Orang ramai juga digalak hubungi kita melalui aplikasi sekiranya ada aduan,” katanya.

Tambahnya, penduduk juga disaran melaporkan kepada KDEBWM sekiranya ada dalam kalangan kakitangan agensinya meminta upah atau duit raya.

“Saya beri amaran kepada pekerja supaya tidak meminta duit raya daripada penduduk dan sekiranya saya terima aduan, individu tersebut akan diberhentikan kerja,” katanya.


Pengarang :