SELANGOR

MDSB akui aduan sampah haram berkurang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 APR: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengakui aduan isu longgokan sampah haram berkurangan apabila perkhidmatan kutipan sampah di kampung tradisi dilaksanakan sejak Disember tahun lalu.

Penolong Pegawai Komunikasi Korporatnya, Noraini Ahmad berkata, pada tahun ini sahaja, hanya dua aduan berhubung sampah haram di kawasan itu dibuat.

Katanya, MDSB menyediakan lebih 100 tong sampah di kampung tradisi melibatkan empat kawasan dengan pecahan tujuh zon bagi kemudahan penduduk membuang sampah.

“Empat kawasan itu adalah di Sekinchan, Sungai Besar, Sabak dan Sungai Air Tawar.

“Perkhidmatan kutipan sampah domestik di semua kawasan itu pula dilaksanakan setiap hari.

“Bagaimanapun, kutipan sampah pukal, kebun dan perabot pula dilaksanakan seminggu sekali iaitu empat kali sebulan,” katanya.

Noraini memaklumkan, pelaksanaan kutipan itu adalah selaras dengan arahan Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat menguruskan perkhidmatan kutipan sampah di semua kawasan PBT, termasuk di kampung tradisi mengikut garis panduan ditetapkan.

“Secara tidak langsung dapat mengurangkan aduan sampah haram di kampung tradisi, selain meningkatkan tahap kualiti kehidupan di luar bandar dengan pengurusan sisa pepejal yang baik,” katanya.


Pengarang :