NASIONAL

Tun M: Belum pernah Malaysia ada kerajaan teruk seperti pemerintahan Najib

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia belum pernah mempunyai kerajaan seteruk seperti kerajaan Datuk Seri Najib Razak seperti hari ini, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir berkata, jika dahulu pemimpin semuanya berjuang demi bangsa, agama dan negara namun kini Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia keenam itu berjuang demi wang.

“Kononnya buat syarikat untuk kekayaan negara (1MDB) sedangkan negara Arab yang keluar minyak banyak memang tidak habis duitnya daripada penjualan minyak.

“Tetapi Malaysia bukan pengeluar minyak, duit tidak cukup juga, bagaimana nak buat syarikat kekayaan negara, syarikat hutang negara bolehlah” katanya.

Tun Mahathir berkata demikian ketika mengadakan sesi Ceramah Mega Pakatan Harapan (PAKATAN) Parlimen Titiwangsa di Desa Pandan yang turut dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon P119 Titiwangsa, Rina Harun.

Tun Mahathir berkata, sejak 2013 belum ada mana-mana audit berkenaan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sehingga menimbulkan kemusykilan pelbagai pihak.

“Di Langkawi sahaja, RM1,000 seorang dapat suruh kita undi dia, tidak apa, orang bagi ambil memang hak kita duit kita, tapi 9 Mei nanti pangkah PAKATAN,” katanya.

Sementara itu, Mahathir juga merupakan calon Parlimen Langkawi P.4 turut bertanding pada PRU14 nanti dalam saingan tiga penjuru menentang penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ir Nawawi Ahmad dan calon PAS, Zubir Ahmad.


Pengarang :