sdr
PBTSELANGOR

60 sekolah jaya Generasi Sihat MPSJ

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 SEPT: Sebanyak 60 sekolah rendah dan menengah di sekitar Subang Jaya terbabit menjayakan program Generasi Sihat dan Merdeka anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di Surf Deck, Taman Tema Sunway Lagoon, di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkurnain Che Ali berkata, ia diadakan bersempena program Generasi Bestari MPSJ 2018 bagi memperkasakan skuad denggi dengan teknik pembelajaran, praktikal dan perkongsian amalan terbaik.

Katanya, program dengan kerjasama Sunway Lagoon Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Petaling Perdana itu turut membantu pelaksanaan program Bebas Nikotin menerusi pendekatan aktiviti ‘edutainment’

“Pelaksanaan modul skuad denggi pada tahun ini adalah lanjutan daripada siri pertama yang pernah diadakan tahun lalu.

“Pada tahun lalu, kita menumpukan kepada aspek pendedahan dan pembelajaran, namun tahun ini skuad denggi yang dilantik akan dinilai kefahaman mereka, sekali gus memperkasakan ilmu serta informasi berkenaan Aedes juga denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Generasi Sihat dan Merdeka bersempena Program Generasi Bestari MPSJ 2018, di sini.

dav

Katanya, modul Bebas Nikotin turut diperkenalkan secara rasmi hari ini dengan guru dan pelajar diberi pendedahan berkenaan bahaya merokok, sekali gus membantu mencapai sasaran bebas nikotin di peringkat sekolah.

Mohammad Zulkurnain berkata, program itu turut menerapkan elemen kemerdekaan bertujuan meraikan hari berkenaan.

“Erti kemerdekaan di sini turut dikaitkan dengan generasi bebas nikotin dan kejayaan dalam mendidik generasi bagi memelihara alam sekitar bebas dari bahaya denggi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap program itu dapat memberi kesan jangka masa panjang dalam memastikan kelestarian perbandaran dan alam sekitar kekal terpelihara.

“Semoga program ini dapat menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan modul, aktiviti dan pembelajaran berkaitan kebersihan, kesihatan persekitaran, penjagaan, pemuliharaan alam kepada komuniti sekolah serta penduduk di dalam kawasan MPSJ khasnya,” katanya.


Pengarang :