NASIONAL

PRK Port Dickson: Anwar doa yang terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Calon Pakatan Harapan (Pakatan) P 132, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin peratusan mengundi meningkat dari masa ke semasa.

Katanya, peratusan peningkatan itu dilihat daripada sambutan sesetengah tempat.

“Saya tidak dapat menjangkakan berapa peratus tetapi dari kita lihat ia akan meningkat.

“Ini berdasarkan sambutan yang diterima sesetengah pusat mengundi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat mengundi di Sek Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa, di sini.

Anwar turut mendoakan yang terbaik pada pengundian hari ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan sebanyak 17 peratus keluar mengundi pada jam 10 lagi tadi.

SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dan pihaknya akan melaksanakan ‘Jom Kita Undi’ melalui pelnagai saluran media di lokasi-lokasi strategik di tempat tumpuan awam.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Keputusan PRK berkenaan dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.

Seramai 1,403 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan di 32 pusat pengundian itu.

Sebanyak 32 pusat mengundi, 154 saluran mula dibuka di Parlimen Port Dickson seawal 8 pagi tadi.

Pada PRK P 132 Port Dickson ini, seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018.


Pengarang :