BERITA UTAMASELANGOR

Permulaan positif bukti manifestasi keyakinan pelabur asing – MB

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 17 FEB: Selangor sudah memperoleh pelaburan awal berjumlah RM1,150 juta menerusi dua syarikat utama bagi tempoh awal tahun 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaburan ini merupakan manifestasi keyakinan pelabur asing memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan yang akan menjana ekonomi dan merancakkan lagi industri pembuatan dan perkhidmatan di negeri itu.

Katanya, prestasi ini juga menandakan aras kejayaan dan kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri hasil daripada sokongan dan dukungan berterusan rakyat.

“Pada awal 2019 ini, kita berbangga kerana telah berjaya menarik beberapa buah syarikat untuk meningkatkan pelaburan mereka di negeri ini antaranya Pusat Pengedaran IKEA yang ketiga terbesar di dunia sedang dibangunkan di Pulau Indah, Selangor dengan jumlah nilai pelaburan sebanyak RM900 juta.

“Baru-baru ini juga PKT Every24 Logistics Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian dengan Daiso Industries Co. Ltd. untuk mengendalikan pusat pengedaran serantau di Pelabuhan Klang dengan nilai pelaburan sebanyak RM250 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor 2019 di Dataran Petaling Jaya, semalam.

Menurutnya, sambutan perayaan ini juga selaras dengan konsep Maju Bersama kerana menerusi inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri, pelbagai program dan inisiatif turut sama memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.

“Kehidupan berbilang kaum dan agama menjadi sebahagian daripada warisan sejarah hidup rakyat di negara ini.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang pernah dilalui, namun majoriti rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa perpaduan adalah aset penting yang perlu dipelihara dan sentiasa dipupuk dalam kalangan kita.

“Semangat kekitaan dan toleransi tidak akan wujud jika kita bertepuk sebelah tangan oleh kerana itu usaha ini hendaklah menjadi tindakan kolektif daripada semua pihak berlandaskan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Rukun Negara.

“Prinsip-prinsip ini adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran sebuah negara,” katanya.

Dalam ucapan sama, Amirudin turut berharap 2019 menjadi tahun yang lebih baik, makmur, aman dan sejahtera buat seluruh rakyat khususnya rakyat Negeri Selangor.

“Saya dan pimpinan negeri juga akan memastikan Selangor terus unggul sebagai sebuah negeri yang sentiasa maju ke hadapan dan menjadikan Selangor ‘The Golden State of Malaysia’,” katanya.


Pengarang :