NASIONAL

Dana SRC: Dokumen lebih 200 muka surat diserah kepada pembelaan

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Pihak pendakwaan dalam tiga kes pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, telah menyerahkan 26 dokumen mengandungi lebih 200 muka surat berkaitan perbicaraan itu kepada pasukan pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed memberitahu Mahkamah Tinggi semasa pengurusan kes Najib di sini hari ini bahawa mereka telah menyerahkan dokumen itu kepada pasukan pembelaan Najib semalam.

Najib, yang memakai suit biru dan duduk di dalam kandang tertuduh, diwakili peguam Syahirah Hanafiah. Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 April 2020 bagi lanjutan pengurusan kes.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Budiman berkata pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 30 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu. Bulan lepas, hakim menetapkan 2 hingga 25 Jun 2020, untuk perbicaraan.

Pada 8 Feb lepas, Najib, 66, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM27 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Bekas perdana menteri itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -BERNAMA


Pengarang :