NASIONAL

Saham KL dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur untuk hari kedua berturut-turut dalam persekitaran yang menyaksikan harga minyak mentah meningkat serta pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.02 pagi, petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.37 mata kepada 1,673.06 daripada 1,675.43 yang dicatat pada petang Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 3.19 mata kepada 1,672.24.

Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 130 berbanding 48 dengan 141 kaunter tidak berubah manakala 1,568 tidak diniagakan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 70.03 juta bernilai RM35.04 juta.

Firma penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata aliran peningkatan terus ketara berikutan kecenderungan saham Malaysia seiring dengan prestasi kebanyakan indeks global semalaman yang meningkat ketika ini.

“Keadaan dijangka terus positif susulan spekulasi mengenai penurunan kadar faedah AS dalam tempoh terdekat serta kemungkinan rundingan perdagangan AS-China disambung semula.

“Namun, kami berpendapat aliran peningkatan di FBM KLCI akan disusuli dengan aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu berikutan peningkatan yang dicatat baru-baru ini,” katanya menerusi satu nota penyelidikan, hari ini.

Securities Melaka berkata walaupun saham indeks utama mencatat kemajuan keadaan sebaliknya membabitkan FBM Small Cap, FBM Fledgling dan saham FBM ACE.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM8.96, Petronas Chemicals untung satu sen kepada RM8.38, Public Bank rugi empat sen kepada RM23.04 manakala Tenaga turun enam sen kepada RM13.82.

Pengeksport sarung tangan bilik bebas kuman, CE Technology Bhd disenarai buat kali pertama di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia hari ini dengan mencatat premium sebanyak empat sen daripada tawaran awam permulaan pada 24 sen sesaham dengan 110,000 unit didagangkan.

Bagi saham didagangkan aktif, Bumi Armada meningkat satu sen kepada 21.5 sen, Hibiscus Petroleum dan Dayang Enterprise menokok empat sen kepada RM1.11 dan RM1.21 dan Ekovest untung satu sen kepada 85.5 sen.

Indeks FBM Emas pula susut 5.02 mata kepada 11,781.26, Indeks FBMT 100 turun 7.03 mata kepada 11,633.50 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 15.67 mata kepada 12,117.09.

FBM 70 naik 29.69 mata kepada 14,583.29 dan FBM Ace meningkat 9.12 mata kepada 4,371.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 2.05 mata kepada 16,694.05, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian naik 0.18 mata kepada 160.70 namun Indeks Perladangan berkurangan 32.57 mata kepada 6,938.18.

-BERNAMA


Pengarang :