Gimik Pelancaran Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor Saujana Ballroom The Saujana Hotel Jalan Lapangan Terbang pada 21 Ogos 2019.-FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

CEPat perkukuh agenda ekonomi tanpa tunai di Selangor

SUBANG, 21 OGOS: Sasaran Selangor ke arah bergelar negeri pintar menjelang tahun 2025 berada di landasan betul apabila aplikasi mudah alih transaksi tanpa tunai terbaharu ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat dilancar hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah yang diterajui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) ini bagi menyemarakkan lagi ekosistem ekonomi digital untuk meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai dan memacu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri.

Katanya, CEPat akan menyediakan satu gerbang untuk semua perkhidmatan berbayar Kerajaan di pelbagai peringkat dalam pentadbiran Selangor.

“Kerajaan Negeri berharap perkembangan lanjut CEPat oleh SSDU akan menggalakkan kerjasama pelbagai pemegang taruh dengan sektor swasta dan sekali gus memacu inovasi dalam pembayaran elektronik, teknologi Kerajaan (GovTech) dan teknologi kewangan (Fintech).

“Platform ini diharapkan dapat mengumpul semua perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan termasuk semua 46 e-dompet yang ada dalam pasaran.

“Saya berharap semua perkhidmatan berbayar Kerajaan dalam negeri ini dapat dibuat dalam platform CEPat menjelang tahun 2022. Ini akan menjadi faktor utama kepada Kerajaan Negeri serta Agenda Ekonomi Tanpa Tunai dalam negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor yang berlangsung di Hotel Saujana Kuala Lumpur, Subang, hari ini.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri juga mengiktiraf kerjasama awal yang dijalinkan dengan Paynet, kempen MyDebit institusi kewangan seperti Maybank dan Ambank serta pemain sektor swasta dalam pembayaran e-dompet termasuk Boost, GrabPay dan KiplePay.

“Saya berharap kerjasama lebih erat dan luas antara semua. Saya juga menjemput pihak-pihak lain untuk turut sama bergabung dengan kami (Kerajaan Negeri) dalam menyediakan Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor menjadi suatu kenyataan,” katanya.

Aplikasi CEPat ini menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ bagi membolehkan keberkesanan pengguna yang cepat dan selamat dengan integrasi sistem ke peringkat bawahan operasi majlis perbandaran serta daerah.

Pembinaan aplikasi sejak setahun lalu menyaksikan penyertaan tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerusi perkhidmatan permohonan lesen, kompaun serta cukai taksiran.

Dalam aplikasi ini turut membenarkan tiga bentuk pembayaran melalui JomPay, perbankan elektronik serta beberapa e-dompet.

CEPat boleh dimuat turun menerusi Playstore bagi pengguna Android dan AppStore bagi IOS bermula 1 Oktober 2019.


Pengarang :