Dato’ Haris Kasim berucap sempena Pembentangan Belanjawan MBSA 2020 dan Mesyuarat Penuh MBSA kali ke 9/2019 di Dewan Perbandaran Wisma MBSA, Shah Alam pada 25 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Belanjawan 2020, MBSA fokus kepada pembangunan

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membentangkan Belanjawan 2020 dengan memberi lebih tumpuan kepada Belanja Pembangunan demi kesejahteraan penduduk negeri ini.

Bertemakan ‘Shah Alam Sejahtera, MBSA Gemilang’, MBSA pada kali ini melaksanakan belanjawan berimbang berbanding defisit yang dilaksanakan empat tahun berturut-turut pada 2016 hingga 2019.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata, Belanja Pembangunan pada tahun depan diperuntukkan RM140.3 juta iaitu meningkat sebanyak RM21.3 juta berbanding Belanjawan 2019.

“Melalui peruntukan ini, sebanyak 51.2 peratus akan diberi kepada Projek Pembangunan seperti membina, menaiktaraf bangunan, infrastruktur dan lain-lain.

“Manakala, 48.7 peratus lagi bagi Perkhidmatan dan Bekalan serta 0.1 peratus bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan Belanjawan MBSA 2020, di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, di sini.

Haris berkata, antara projek pembangunan dan insfrastruktur yang bakal dilaksanakan seperti penyelenggaraan konsesi lampu, pembangunan kedai dua tingkat di Kampung Baru Subang serta Pekan Subang Seksyen U6.

Selain itu, katanya, fokus Belanjawan 2020 juga adalah projek membina bangunan pasar enam tingkat dan menaiktaraf sistem saliran projek tebatan banjir di Seksyen 25.

“Pembinaan Kompleks Perniagaan dan Tempat Letak Kereta bertingkat di Seksyen 17 dan jejantas di Universiti Selangor turut akan dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, untuk Belanjawan MBSA 2020 itu, pihaknya membentangkan jumlah peruntukan keseluruhan RM480,574,090.

“Ia membabitkan RM340,176,760 bagi Belanja Mengurus dan RM140,397,330 bagi Belanja Pembangunan.

“Perbelanjaan Mengurus dianggarkan sebanyak 70.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan, ia bertambah RM0.8 juta iaitu 0.2 peratus berbanding 2019,” katanya.


Pengarang :