Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ketika menyampaikan sumbangan kepada Lt Kol (B) Dr Syed Othman Syed Omar (dua,kanan) yang cedera ketika terlibat dalam operasi ‘793 Alpha Selamat Sawadee’ pada 4 Ogos 1979 yang mengakibatan beliau kehilangan kedua-dua belah matanya selepas terkena jerangkap samar pada majlis pelancaran Kempen Tabung Pahlawan di Wisma Perwira, 19 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Siti Hasmah lancar Kempen Tabung Pahlawan

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali melancarkan Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2019 bertujuan mengumpul dana bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli keluarga mereka.

Beliau, yang merupakan penaung KTP 2019, berkata jasa dan pengorbanan setiap pahlawan perlu dikenang setiap masa kerana mereka berkorban nyawa untuk keamanan negara.

“Kepada pahlawan yang berada di merata tempat, saya ucapkan tahniah dan setinggi penghargaan serta didoakan semua berada dalam aman damai,” katanya menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Majlis Pelancaran KTP 2019 di Wisma Perwira di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sementara itu, Mohamad Sabu, ketika menyampaikan ucapan, berkata Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan sebanyak RM6 juta tahun ini dengan hasil kutipan tabung berkenaan akan diagihkan kepada veteran ATM.

Beliau berkata, antara yang akan menerima manfaat menerusi kutipan tabung itu adalah veteran kelainan upaya, balu dan anak-anak dalam kategori orang kurang upaya (OKU) serta veteran yang terlibat dalam musibah.

“Saya menyeru semua pihak menyalurkan sumbangan derma ikhlas sebagai tanda terima kasih atas hadiah keamanan dan keselamatan yang kita nikmati pada masa ini.

“Sememangnya wang ringgit bukanlah tukaran kepada keamanan namun ia sebagai lambang kita berbahasa kepda mereka yang telah berbudi,” katanya.

Tabung Pahlawan ditubuhkan sekitar 1950 dan diteruskan sehingga kini untuk mengumpul dana bagi membantu veteran ATM.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Pahlawan 2019 menerusi akaun Affin Bank 1059-5000-3201 di atas nama Tabung Rayuan Hari Pahlawan.

– BERNAMA


Pengarang :