AGENDANASIONAL

JBPM harap kelengkapan aset, peralatan diberi perhatian

KUCHING, 30 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap peruntukan dalam Belanjawan 2020 kepada jabatan itu akan memberi keutamaan kepada usaha bagi melengkapkan aset serta peralatan di lebih 30 balai bomba yang akan siap dibina tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, selain aset seperti jentera, pembinaan balai-balai baharu itu pastinya memerlukan penambahan anggota.

“Jadi kita berharap kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan keperluan ini dapat dipenuhi dan ditimbangkan sebaik mungkin kerana kita melihat kepada keperluan yang mendesak dari segi kecemasan yang semakin meningkat dari sehari ke sehari,” katanya kepada pemberita pada majlis pra-pelancaran Kuching Fire Fighter’s Run di sini, semalam.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

Mohammad Hamdan berkata, kesemua kelengkapan terbabit perlu bagi membolehkan operasi jabatan berkenaan berjalan lancar.

Mengenai larian anjuran JBPM negeri pada 15 Mac tahun hadapan yang bertempat di Majlis Bandaraya Kuching Selatan itu, beliau berkata, ia terbuka kepada orang ramai dengan objektif merapatkan hubungan orang awam dan jabatan berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :