AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Semua sekolah di Putrajaya, 138 sekolah di Selangor ditutup esok

SHAH ALAM, 16 SEPT: Sebanyak 138 sekolah di Selangor yang melibatkan daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup esok susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada pada paras sangat tidak sihat sehingga petang tadi.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, penutupan yang dibuat berdasarkan pemantauan sehingga jam 7 petang oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu melibatkan 179,843 pelajar.

“Jumlah sekolah yang ditutup bagi kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang ialah 23 buah, PPD Kuala Langat 18, PPD Hulu Langat 35, PPD Petaling Perdana 38 dan PPD Klang 24.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari masa ke masa. Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kenyataan itu, hari ini.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Carey, SMK Kota Kemuning, SMK Sri Andalas, SMK Raja Mahadi, SMK Kajang Utama dan SMK Sungai Ramal.

Turut ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naga, SK Kampung Jawa, SK Jalan Kebun, SK Bukit Rimau, SK Sri Jelok dan SK Leftenan Adnan.

Sementara itu, berdasarkan bacaan dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 9 malam ini, paras IPU di Johan Setia adalah 226, Kuala Selangor (153); Shah Alam (194); Petaling Jaya (170); Klang (179) dan Banting (162).

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, semua sekolah di Putrajaya ditutup esok susulan bacaan IPUyang memasuki tahap sangat tidak sihat hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, berdasarkan bacaan IPU yang telah melebihi 200 mulai jam 5 petang hari ini, adalah dimaklumkan bahawa semua sekolah Putrajaya akan ditutup pada hari esok.

Putrajaya hari ini mencatatkan IPU 201 pada pukul 5 petang, 204 pada pukul pukul 6 petang dan 205 (tertinggi setakat hari ini) pada jam 7 petang.

Ini adalah kali pertama sekolah-sekolah di Putrajaya ditutup berikutan jerebu yang melanda negara sejak 5 September lepas.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Di Johor, sesi persekolahan di tiga daerah di negeri itu yang ditutup dua hari lepas berikutan jerebu akan beroperasi semula seperti biasa esok.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan berkata, keputusan itu dibuat berikutan bacaan IPU di daerah Tangkak, Muar dan Pontian didapati mula menurun di bawah 200.

Katanya, semua kelas tadika dan sesi pengajian di Institusi Pengajian Tinggi di ketiga-tiga daerah tersebut juga akan dibuka semula esok.

“Berdasarkan status bacaan terkini IPU di stesen-stesen di Johor, ia menunjukkan trend menurun yang banyak, di bawah 200,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azman berkata, bagi daerah-daerah yang mempunyai status IPU lebih daripada 100, aktiviti persekolahan di luar bilik darjah ditangguhkan.

Di Melaka, semua sekolah akan dibuka seperti biasa esok ekoran bacaan IPU di negeri itu telah turun ke tahap tidak sihat berbanding sangat tidak sihat semalam.

Semalam, media melaporkan semua sekolah di Melaka akan ditutup esok sekiranya IPU di negeri itu mencatat bacaan melebihi 200 hari ini.


Pengarang :